AGENSISELANGOR

Perangsang Selangor sumbang 100 lembu

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) menyumbang 100 lembu kepada Kerajaan Negeri untuk program ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam Media dan Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR), Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, sumbangan bernilai RM500,000 itu dilaksanakan saban tahun bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin dan mualaf.

Katanya, daripada jumlah itu, tujuh lembu diserahkan semula kepada Perangsang Selangor untuk urusan agihan, manakala warga kerja syarikat turut menyumbang seekor bagi tujuan ibadah korban.

“Tiga disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia; Surau Taufiqiah, Perkampungan Orang Asli Kerling, Kuala Kubu Bharu dan Surau Darul Islam, Jalan Bandar Lama, Teluk Panglima Garang.

“Manakala, selebihnya diagihkan kepada keluarga asnaf mualaf Pertubuhan Muallaf Progress, Bukit Beruntung, Rawang; keluarga asnaf Flat Seksyen 7, Shah Alam dan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia termasuk beberapa penerima lain,” katanya.

Mohd Fauzi Mohd Ghazali menyerahkan daging korban kepada salah seorang penerima di Masjid Riadhussolihin Seksyen 17 Shah Alam, pada 13 Ogos. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ibadah Korban dan Majlis Agihan Zakat Perangsang Selangor 2019, di Masjid Riadhussolihin Seksyen 17, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Perangsang Selangor, Raja Shahreen Raja Othman turun meninjau aktiviti sembelihan dan melapah lembu korban bersama EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dalam program bermula seawal 7 pagi.

Pada majlis sama, Perangsang Selangor turut mengagihkan RM40,000 zakat tkepada 38 keluarga asnaf mualaf dari Pertubuhan Muallaf Progress, Bukit Beruntung, Rawang.

Mohd Fauzi berharap, sumbangan itu membantu menceriakan golongan terbabit selain memberi peluang kepada mereka yang baru memeluk Islam memahami erti pengorbanan sebenar.

“Mereka (mualaf) juga terbabit dalam proses penyembelihan, sekali gus dapat mengajar mereka mengenali lebih mendalam cara sembelihan masyarakat Islam.

“Malah, golongan mualaf ini diberi pendedahan tentang asas-asas Islam melalui 13 siri pembelajaran di tempat masing-masing,” katanya.


Pengarang :