AGENDANASIONAL

Perluas dialog isu kos sara hidup belia di peringkat negeri

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sesi dialog bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) wajar diperluaskan di peringkat negeri sebagai wadah akar umbi dalam menyampaikan hasrat anak muda, terutama membabitkan isu kos sara hidup.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Johar berkata, sesi dialog berkenaan memberi peluang kepada anak muda dan pemimpin belia memberi cadangan untuk membantu MBM merangka pelan strategik bagi mengawal isu berkaitan.

“Kita menyeru belia mengambil peluang ini untuk menyampaikan input cadangan mereka kepada kerajaan berdasarkan tujuh kluster utama (kesihatan, pendidikan, utiliti, perumahan, e-dagang, pengangkutan, makanan) yang mempengaruhi kos sara hidup belia serta rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu berkata, kerajaan disaran memandang serius isu kos sara hidup dalam kalangan belia merangkumi pendidikan, pengangkutan awam dan kesihatan.

Katanya, sesi dialog bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini banyak menyentuh keperluan kementerian untuk mendapatkan cadangan bagi memudahkan KPDNHEP merangka pelan strategik dalam mengawal isu kos sara hidup.

“Antara isu yang banyak menjadi persoalan dalam kalangan peserta adalah hal pemilikan rumah dan bantuan pendidikan yang berkurangan.

“Selain itu, peserta sesi dialog juga memuji inisiatif pihak kementerian memperkenalkan Bank Makanan serta pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 yang sedikit sebanyak mengurangkan beban kos sara hidup dalam kalangan belia.

“Beliau (Saifuddin) turut tertarik dengan beberapa input dan idea baru yang dicadangkan termasuk penyediaan latihan kepada majikan dalam menerima pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Selain itu, cadangan keperluan pemberian subsidi dalam pembelian alat bantuan golongan OKU yang harganya mahal di pasaran turut mendapat perhatian serta akan dipertimbangkan untuk diberikan potongan cukai,” katanya.


Pengarang :