Mohamed Azmin Ali
AGENDANASIONAL

Persekutuan dukung usaha Selangor cipta idea baharu

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi komited mendukung usaha Selangor merealisasikan idea baharu dalam mencipta nilai tambah kepada ekonomi negara, sekali gus meningkatkan kemakmuran negeri itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Selangor mempunyai peranan utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Malah, katanya, Selangor mempunyai peranan strategik dalam lompatan kuantum ekonomi ke dalam ekonomi digital dan industri bernilai tinggi.

“Selangor mencipta sejarah apabila berjaya menarik pelaburan bernilai RM18.95 bilion iaitu tertinggi sejak 30 tahun yang lalu, pada tahun 2018. Ini membuktikan kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meletakkan satu wawasan jelas untuk masa depan negeri.

“Justeru, keperluan pembangunan Selangor sebagai pelopor utama ekonomi negara perlu dicerakinkan bersama Kerajaan Persekutuan dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke12 (RMK12),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Penyediaan RMK12, di Hotel Concorde, di sini hari ini.

=Menteri Hal Ehwal Ekonomi YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberi cenderahati kepada Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Amirudin Shari selepas Penutup Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di Hotel Concorde Shah Alam pada 9 Ogos 2019.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

Mohamed Azmin berkata, perbincangan sesi libat urus itu turut memberi penekanan kepada pembangunan sektor berimpak tinggi seperti sektor ekonomi digital, pembekalan dan perkhidmatan teknologi tinggi, aeroangkasa, automotif serta pertanian pintar.

Katanya, ia bagi memastikan hala tuju pembangunan negara sejajar dengan keperluan negeri.

“Pembabitan ini secara langsung daripada semua pihak yang berkepentingan akan memastikan strategi pembangunan negara yang dirancang lebih tersasar serta memenuhi objektif dan matlamat Kemakmuran Bersama,” katanya.

Sesi libat urus dengan Kerajaan-kerajaan Negeri dimulakan sejak 5 Julai lalu dan Selangor merupakan negeri kelapan dalam siri jelajah ini.

Sesi itu juga akan ke negeri Terengganu dan Pahang minggu hadapan.

Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional dengan nilai sebanyak RM322.6 bilion atau 23.7 peratus daripada KDNK nasional pada tahun 2018.


Pengarang :