AGENDASUKANKINI

Persiapan kontinjen Sukan Sea negara kini di peringkat akhir

SEREMBAN, 18 OGOS: Persiapan kontinjen Sukan SEA negara kini sudah sampai ke peringkat akhir, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pemilihan MOM telah mengenal pasti hampir 800 orang atlet untuk temasya Sukan SEA 2019 di Filipina November ini.

“Tarikh akhir senarai akhir atlet mengikut nama ialah pada 2 September depan untuk persatuan memuktamadkan atlet yang mana layak untuk didaftarkan dalam acara mereka masing-masing. Selepas itu pihak MOM akan menghantar pendaftaran kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA…itu adalah komposisi akhir kontinjen Sukan SEA Malaysia.

“Seterusnya di peringkat MSN dari segi persiapan kontinjen, kita akan adakan satu latihan pusat akhir untuk mengumpulkan kesemua 800 orang atlet kontinjen negara sebelum kita bertolak ke Filipina,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada Perlumbaan Basikal Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB dan Kriterium Yayasan CIMB siri ke-5 di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata, dari segi persiapan semuanya berjalan lancar dan kini persiapan lebih banyak tertumpu kepada pertandingan-pertandingan sebelum temasya Sukan SEA berlangsung.

“Ini adalah persiapan terakhir, sebelum kita perbaiki balik ke arah Sukan SEA,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran pingat, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan pada majlis penyerahan bendera nanti.

“Itu pun selepas kita kemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memuktamadkan dari segi status sesama prestasi atlet dan sasaran yang mungkin mereka boleh capai di Sukan SEA nanti,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :