AGENDANASIONAL

Pertimbang larang kenderaan berat guna jalan raya semasa cuti serentak

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Kerajaan berkemungkinan akan mempertimbangkan untuk melarang kenderaan berat menggunakan jalan raya pada musim perayaan yang jatuh pada cuti sekolah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kebiasaannya larangan kepada kenderaan berat hanya dikuatkuasakan ketika Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina setiap tahun.

“Hari raya kali ini bersama cuti sekolah maka timbul kesesakan di luar dugaan, mungkin di mana hari perayaan bertembung dengan cuti sekolah, maka larangan (menggunakan jalan raya) kepada kenderaan besar perlu dipertimbangkan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menghadiri Majlis Ibadah Korban dan Aqiqah di Perumahan Polis Desa Tasik, Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kesesakan teruk aliran trafik di beberapa lebuh raya utama semalam ekoran orang ramai pulang ke kampung bersempena cuti sekolah dan sambutan Aidiladha.

Bernama sebelum ini melaporkan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur yang menjadi laluan utama dari Pantai Barat ke Pantai Timur dijangka merekodkan 1.65 juta kenderaan sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

-BERNAMA


Pengarang :