PENDAPATRENCANA

Pesta durian penyatu jiwa pelbagai kaum

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Sedang penulis menghirup teh o panas sambil menikmati pisang goreng pada satu petang di sebuah gerai di Wangsa Maju, mata terpandang poster pesta makan durian yang ditampal kemas pada sebatang pokok.

“Jom Makan Durian! Bayar RM50 sahaja dan boleh makan durian sampai pengsan”, antara ayat pada poster berkenaan yang pastinya akan menarik perhatian penggemar durian termasuklah rakan penulis, Adila Abdul, seorang penjawat awam.

Sebagai pencinta durian atau sinonim dengan panggilan raja segala buah itu, Adila, 33, memang ‘pantang’ betul melihat mana-mana iklan jualan durian atau longgokan buah berkenaan khususnya variasi kampung yang sekarang ini begitu banyak dijual termasuk di tepi jalan.

Sambil menyuarakan keterujaan untuk pergi ke pesta durian itu, rakan penulis itu berkata, trend menikmati keenakan isi buah di sebalik kulit berduri itu sudah jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Sambil mengimbas kembali nostalgia tahun 90-an, Adila berkata, pilihan pencinta durian untuk menikmati buah tersebut pada masa itu sama ada yang dibeli di tepi jalan, pasar malam adalah terhad iaitu di rumah atau pun dalam suasana dusun kampung milik keluarga, sanak saudara dan juga rakan.

Ini kerana baunya yang kuat dan tidak disenangi sesetengah orang khususnya di tempat tertutup, menyebabkan acara makan durian biasanya tidak diadakan di tempat terbuka apatah lagi sekitar perkarangan pejabat mahupun hotel.

Namun, sejak kebelakangan ini trend makan durian nampaknya sudah semakin mendapat tempat dalam kalangan sektor korporat, pejabat kerajaan mahupun hotel bertaraf lima bintang.

“Trend pesta makan durian sampai pengsan dengan sekali bayar ini sebenarnya sangat berbaloi bagi ‘hantu’ durian macam Dila untuk menikmati buah itu sepuas-puasnya berbanding beli di tepi jalan. Yalah, kadang-kala beli dua biji durian tepi jalan atau pasar sudah mencecah RM70 dan itu pun belum tentu semua isinya berkualiti.

“Tetapi, yang menariknya tentang pesta atau bufet durian ini, orang ramai diberi peluang untuk merasai durian mahal harganya seperti Musang King, Udang Merah, IOI dan pelbagai lagi jenis durian kahwin. Harga Musang King di luar boleh mencecah RM45 hingga RM90 sekilo (bergantung kepada gred).

“Macam program Duriotourism yang diadakan di MARDI Kuala Kangsar yang membolehkan peminat fanatik durian berpeluang menikmati pelbagai jenis varieti durian berkualiti hasil kajian institusi itu dengan hanya RM50,” katanya.

Bagi Adila, pakej yang ditawarkan pada kebanyakan pesta durian sangat berbaloi apatah lagi ia turut menyajikan hidangan lain berasaskan durian seperti aiskrim, serawa durian serta buah-buahan tempatan lain seperti rambutan dan manggis.

Pada masa yang sama trend sedemikian juga dilihat sangat positif ke arah memperkasakan martabat raja buah itu yang sebelum ini dianggap tidak ada nilai eksklusif atau dilabelkan sebagai buah kampung disebabkan baunya yang sangat kuat serta menusuk hidung.

Mendengar celoteh Adila, saya tidak menafikan harga durian pada masa ini khususnya yang dikacukkan dengan pelbagai varieti memang mahal sehingga ada yang melabelkan varieti raja buah yang mahal itu hanya hidangan orang kaya.

Masakan tidaknya! Ambil contoh harga durian Duri Hitam (kod D200) atau Black Thorn yang boleh mencecah RM110 sekilogram bagi pasaran tempatan dan lebih RM300 bagi pasaran antarabangsa. Sudah tentunya hanya mereka yang berduit sahaja boleh menikmati varieti berkenaan.

Rasa ingin tahu tentang durian yang mahal ini lalu membuatkan saya bertanya kepada pegawai Mardi yang saya kenal untuk mendapatkan serba sedikit maklumat mengenai durian Duri Hitam ini. Dengan isi berwarna kuning jingga dan rasa lemak manis dengan sederhana rasa pahit, durian ini durian klon yang diklonkan dari durian kampung terpilih.

Durian ini bagaimanapun banyak di sebelah Balik Pulau, Pulau Pinang.

Apa pun spesies durian, saya melihat trend pesta atau bufet durian ini sebenarnya mempunyai matlamat sangat besar penganjurannya di mana ia bukan hanya memberi peluang pada pencinta durian untuk menikmati buah tersebut sepuas-puasnya tetapi lebih daripada itu.

Seperti kita sedia maklum, pencinta raja buah ini melangkaui pelbagai kaum. Justeru, program sebegini sebenarnya dilihat sebagai medan terbaik untuk menyemarakkan kembali semangat perpaduan masyarakat negara ini apabila mereka berkumpul beramai-ramai dan menikmati raja buah itu di bawah satu bumbung.

Dengan hanya kadar bayaran minimum ditetapkan untuk seorang individu, suasananya cukup meriah, cukup mesra tanpa mengira agama, kaum, budaya mahupun perbezaan politik dan saya sebagai antara seorang yang pernah beberapa kali menyertainya tidak menafikan trend ini sangat menarik.

Malah, di tempat saya bekerja iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) baru-baru ini juga dianjurkan pesta makan durian. Dengan hanya membayar RM10 untuk sekeping kupon, bolehlah makan sepuas-puasnya raja buah itu.

Bagi saya nilai RM10 itu membawa erti sangat besar apabila ia berjaya mengumpulkan pekerja daripada pelbagai jabatan dan kaum untuk turut serta yang mana sebelum ini mungkin kebanyakannya sibuk dengan tugas harian. Bukan sahaja durian, pelbagai jenis juadah turut dihidangkan termasuk serawa durian, kuih-muih dan buah-buahan tempatan.

Pada masa inilah, dapat bertukar cerita dan bertanya khabar sambil menikmati keenakan buah kesukaan ramai ini sekali gus mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain. Malah, tidak mustahil individu yang tidak kita bertegur sapa sebelum ini akhirnya menjadi rakan menerusi penyertaan pesta durian.

Selain itu, apa yang menarik lagi mengenai pesta durian adalah ia bukan hanya menjadi tumpuan masyarakat tempatan bahkan pelancong antarabangsa juga tidak ketinggalan begitu menyukai acara sedemikian dan isi buah tersebut.

Pastinya ia merupakan satu promosi terbaik buat Malaysia apabila pelancong luar ini bertindak sebagai duta sekembalinya mereka ke negara asal dengan menceritakan kepada keluarga, rakan mengenai keharmonian masyarakat negara ini tatkala menikmati durian. Saya ada terjumpa satu video penggemar durian dari Jepun yang jatuh cinta dengan raja buah ini ketika melancong ke Malaysia. Punyalah suka durian sehingga wanita ini mencari buah ini ketika melancong di Hong Kong dan membeli sebiji durian Musang King dengan harga AS$13. Sayang sekali rasa durian tidak sesedap yang dimakannya di Malaysia.

Sememangnya, inilah keunikan durian yang mempunyai nilai dan aura sangat eksklusif bukan hanya kerana keenakannya tetapi paling penting peranannya dalam penyatuan masyarakat. Kerana itulah, ia memang wajar digelar raja segala buah.

Memasuki bulan Ogos ini, suasana pesta durian yang masih lagi giat dianjurkan ini dilihat sangat bersesuaian dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepanjang 1 Ogos hingga 16 September ini. Musim durian pula dikatakan akan berterusan sehingga penghung tahun.


Pengarang :