Muhammad Bakhtiar Wan Chik (kanan) menandatangani plak pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Hadiah Asean Food dan Heritage Festival 2019 di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada 28 Ogos 2019. Foto BERNAMA.
AGENDANASIONAL

Pesta makanan ASEAN di Kelantan

KOTA BHARU, 29 Ogos: Festival makanan “Festival Makanan dan Warisan ASEAN 2019” yang dikelola Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Kelantan, menampilkan pelbagai keunikan makanan daripada 10 negara ASEAN.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, festival berkenaan melibatkan penyertaan antaranya dari Thailand, Indonesia, Laos, Brunei, Vietnam, Singapura, Filipina, selain penganjur turut menfokuskan makanan yang terdapat di Kelantan.

“Festival sebegini mampu melonjakkan pembangunan negara demi mempertingkatkan industri pelacongan Malaysia khususnya Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Malam Penghargaan Festival Makanan dan Warisan ASEAN 2019 di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah MOTAC Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin.

Muhammad Bakhtiar berkata, pihaknya mensasarkan lebih 100,000 pengunjung akan hadir dan meraih jumlah jualan sebanyak RM1 juta sepanjang festival 10 hari berlangsung yang bermula sejak 22 Ogos lalu.

“Selain menampilkan keunikan makanan daripada pelbagai negara ASEAN, festival ini juga adalah satu usaha mempromosikan kempen tahun melawat Malaysia 2020, sekali gus menyahut seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mensasarkan 30 juta pelancong pada tahun hadapan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :