Dato’ Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (dua, kanan) turut sama Exco Kerajaan Negeri Selangor Khairuddin Othman (dua, kiri) dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Adi Faizal Ahmad Tarmizi (kanan) bergambar bersama juara keseluruhan Kejohanan Sukan Selangor ketika Majlis Penutup Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 2019 di RHR Hotel Uniten, Bangi pada 10 Ogos 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Petaling juara SUKSES 13 kali berturut

BANGI, 10 OGOS: Daerah Petaling meneruskan dominasinya dalam Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 13 kali berturut apabila diumumkan juara bagi edisi ke-13.

Pada kejohanan dwi tahunan itu, Petaling berjaya meraih 61 pingat keseluruhan dengan 21 emas, 15 perak dan 25 gangsa.

Kejuaraan itu membolehkan kontinjen Petaling membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan piala pusingan.

Hadiah disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari kepada Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Johary Anuar yang juga Ketua Kontinjen Daerah Petaling pada Majlis Penutup SUKSES Ke-13 di RHR Hotel Uniten Bangi, di sini, hari ini.

Turut hadiri EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Manakala tuan rumah, Sepang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas meraih 40 pingat dengan 17 emas, 11 perak dan 12 gangsa diikuti tempat ketiga, Klang dengan 12 emas, 15 perak dan 23 gangsa.

Ayzek Hakimi Safingan yang mewakili pasukan petanque Sepang dinobatkan sebagai olahragawan kejohanan selepas menggondol tiga pingat emas dan satu perak.

Seorang lagi pemain petanque (wanita) juga dari Sepang, Adlin Sofia Sazali dinobatkan sebagai olahragawati kejohanan dengan membawa pulang tiga pingat emas dan satu perak.

Ayzek Hakimi dan Adlin Sofia masing-masing membawa hadiah wang tunai RM1,000 dan medal.


Pengarang :