AGENDANASIONAL

PETRONAS majikan paling menarik 2019

SHAH ALAM, 22 OGOS: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang anugerah Majikan Paling Menarik 2019 di Malaysia oleh agensi pengambilan pekerjaan utama dunia, Randstad.

Syarikat minyak dan gas nasional itu mengatasi dua syarikat multinasional lain iaitu Shell Malaysia yang berada di kedudukan kedua dan Nestlé (Malaysia) Bhd (ketiga).

Ketiga-tiga syarikat berkenaan menerima skor daya tarikan tertinggi dalam Penyelidikan Jenama Majikan, yang dipilih daripada 75 syarikat komersial terbesar di Malaysia berdasarkan saiz tenaga kerja.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass dalam kenyataan mengucapkan tahniah kepada pemenang atas usaha cemerlang mereka mewujudkan jenama majikan yang kukuh, di sebalik pasaran yang semakin dinamik dan kompetitif.

“Apabila syarikat memupuk tempat kerja yang memberi inspirasi dan kuasa kepada kakitangan untuk berbangga dengan setiap pekerjaan dilakukan, maka pengalaman mereka akan lebih berharga.

“Kami (Randstad) berharap dapat melihat lebih banyak syarikat memberi tumpuan kepada pengukuhan jenama majikan mereka untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman berkata, syarikat itu sentiasa menghargai dan komited memberi pengalaman positif kepada kakitangannya.

“Program pembangunan kepimpinan dan keupayaan PETRONAS yang terkemuka menawarkan peluang pertumbuhan kerjaya kepada pekerja kami di seluruh dunia dan terbukti menghasilkan bakat terbaik.

“Kami terus memupuk persekitaran tempat kerja yang kondusif untuk pekerja, termasuk pelaksanaan pengaturan kerja yang fleksibel, reka bentuk semula tempat kerja, meningkatkan faedah dan penggunaan teknologi digital,” katanya.

Berikut adalah 10 Majikan Paling Menarik 2019 di Malaysia:

1. Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)
2. Shell Malaysia
3. Nestlé (Malaysia) Berhad
4. Intel Malaysia Sdn. Bhd.
5. Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd.
6. AirAsia Berhad
7. IBM Malaysia Sdn. Bhd.
8. Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.
9. Sime Darby Berhad
10. Sony EMCS (Malaysia) Sdn. Bhd.


Pengarang :