Foto BERNAMA.COM
AGENDANASIONAL

PGA sertai operasi gadis Ireland hilang

 

SEREMBAN, 5 OGOS: Misi mencari seorang remaja perempuan warga Ireland yang memasuki hari kedua hari ini diteruskan dengan tambahan sebanyak 40 anggota daripada platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras.

Ini sekali gus menjadikan jumlah anggota yang terlibat mencari mangsa yang dikenali sebagai Nora Anne Quoririn, 15, yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di Seremban semalam, sebanyak 159 anggota.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Che Zakaria Othman berkata, selain Polis Diraja Malaysia, operasi berkenaan turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan serta masyarakat Orang Asli.

“Dengan penambahan anggota, kita turut memperluaskan kawasan pencarian. Kawasan resort tersebut adalah seluas 1.215 hektar,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai dekat sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Wan Rukman Wan Hassan dan Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar.

Sehingga kini katanya, pasukan mencari belum berjaya menjejaki mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat ini dibahagikan kepada dua pasukan yang mana satu pasukan dengan bantuan Orang Asli dan Jabatan Perhutanan memasuki kawasan hutan, manakala satu pasukan lagi di kawasan luar termasuk di sekitar perkampungan dan pekan Pantai.

“Semalam, kawasan pencarian adalah di sekitar resort ini dan sekarang kita hendak perluaskan lagi kawasan pencarian sehingga kita dapat mengesan mangsa. Setakat ini tiada sebarang petunjuk,” katanya.

Semalam, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.

Berita kehilangan remaja berkenaan turut disiarkan oleh media antarabangsa.
-BERNAMA


Pengarang :