Tan Sri Abd Karim Munisar (kiri) menyerahkan tiket kepada Dato’ Rosli Othman ketika Majlis Penyampaian Tiket Kejohonan Bola Sepak Piala Sultan Selangor 2019 di Dewan Banquet, Menara MPKj hari ini. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
AGENDASUKANKINI

Piala Sultan Selangor: Elak kekecohan, beri sokongan padu

KAJANG, 15 OGOS: Peminat bola sepak yang bakal membanjiri Stadium Shah Alam bagi menyaksikan Piala Sultan Selangor 2019, pada 24 Ogos ini diharap tidak menimbulkan kekecohan sehingga menyebabkan perlawanan terganggu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abd Karim Shaikh Munisar berkata, penyokong harus memanifestasikan sokongan terhadap pasukan kegemaran mereka sebaik-baiknya.

Katanya, beliau yakin suasana stadium pasti lebih meriah dengan kehadiran pelbagai penyokong dari Selangor dan Singapura terutamanya.

“Segala persiapan sudah dirancang rapi dan saya yakin penyokong pasti akan lebih terpukau menyaksikan pertembungan dua musuh tradisi bola sepak, Selangor dan Singapura pada kali ini.

“Malah, sehingga kini kita sudah berjaya menjual lebih 40,000 tiket bola sepak Piala Sultan Selangor 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Penyampaian Tiket Bola Sepak Piala Sultan Selangor, di Menara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang DiPertua MPKj, Dato’ Rosli Othman.

Tan Sri Abd Karim Munisar

Difahamkan, lebih 70,000 peminat bola sepak dijangka membanjiri Stadium Shah Alam bagi menyaksikan kejohanan Bola Sepak Piala Sultan Selangor 2019.

Selain fokus menyasarkan Selangor menjulang trofi berprestij itu, acara sampingan lain turut disediakan antaranya melihat sendiri kehandalan pemain veteran yang masih memiliki bisa.

Penonton juga bakal dihiburkan dengan persembahan Raja Pop tanah air, Datuk Jamal Abdillah termasuk penampilan beberapa artis lain.

Tiga cabutan bertuah istimewa turut disediakan antaranya kereta Honda City, motosikal Harley Davidson dan penginapan di Hotel Marriott Kota Kinabalu.

Perlawanan itu membabitkan saingan kategori sekolah bawah 16 tahun, veteran dan Pilihan Selangor-Singapura.

Perlawanan bagi kategori sekolah dijadual bermula seawal 5.30 petang diikuti veteran pada 7.50 malam dan perlawanan utama, pada jam 9 malam.

Tahun lalu, skuad Pilihan Selangor menjulang trofi berprestij Piala Sultan Selangor selepas kali terakhir memenanginya pada 2014, manakala Pilihan Singapura menjuarai piala ini sebanyak tujuh kali berturut-turut.


Pengarang :