Selangorkini
Pihak berkuasa Afghanistan membunuh 60 militan di negara itu. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Pihak berkuasa Afghanistan bunuh 60 militan

FIROZ KOH (Afghanistan), 16 OGOS: Pasukan keselamatan Afghanistan telah membunuh 60 militan dan menawan semula lebih 100 kampung daripada pemberontak Taliban di wilayah Ghor sejak hampir sebulan lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Wilayah Wahidullah Nizami.

“Pasukan keselamatan semasa serbuan ke atas pemberontak Taliban yang dilakukan sejak hampir sebulan lepas telah membunuh sekurang-kurangnya 60 pemberontak bersenjata, mencederakan lebih 100 dan menawan semula 108 kampung di kawasan dan daerah sekitar ibu kota wilayah Firoz Koh,” kata Wahidullah.

Tanpa memberikan maklumat berkaitan kemungkinan terdapat kecederaan dalam kalangan petugas keselamatan, beliau berkata, operasi tersebut akan berlangsung sehingga militan dihapuskan dari wilayah bergolak itu.

Sementara itu, Zabiullah Majahid yang mendakwa bercakap bagi pihak Taliban mengesahkan pertempuran berlaku di wilayah Ghor namun menolak kenyataan yang dibuat oleh Nizami.

Majahid mendakwa militan Taliban telah menguasai kawasan di sekitar wilayah Ghor sejak beberapa bulan lepas.

-BERNAMA


Pengarang :