SELANGOR

PJ City FC yakin mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM, 26 OGOS: Ketua jurulatih Petaling Jaya City FC (PJ City FC), K. Devan yakin pasukan kendaliannya berpeluang cerah mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas mengatasi UiTM FC 2-0 di Stadium UiTM, di sini, malam tadi.

Kemenangan ketiga daripada empat perlawanan itu membolehkan PJ City FC mengutip sembilan mata, manakala UiTM FC sah tersingkir daripada merebut slot ke suku akhir setelah gagal mengutip sebarang mata dalam empat perlawanan.

“Kita sememangnya layak untuk menang kerana pemain menunjukkan permainan yang cemerlang dengan menggunakan bahagian sayap untuk membuat beberapa hantaran lintang dan berjaya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria akur dengan kegagalannya melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, namun berpuas hati dengan peningkatan persembahan yang dipamerkan skuad ‘The Lion Troops’ pada perlawanan berkenaan.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi dalam kejohanan ini, saya jadikan ia sebagai tempat untuk pemain mendapat lebih banyak pengalaman bermain dengan pasukan yang lebih baik.

“Kalah atau menang bukan isu bagi saya kerana yang penting, pemain dapat merasai pengalaman dan membuat persiapan untuk menghadapi Liga Premier pada musim hadapan,” katanya.

Pada aksi di Shah Alam, pemain import dari Brazil, Washington Brandao membuka tirai jaringan untuk PJ City FC, sebelum K. Satish mengesahkan kemenangan pasukan berkenaan menerusi gol kedua pada minit ke-71.

– BERNAMA


Pengarang :