Dato’ Mohd Sayuthi Bakar (tengah) memegang baju-T sempena penganjuran PJ Half Marathon, pada 25 Ogos ini. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

PJ Half Marathon kembali 25 Ogos ini

SHAH ALAM, 14 OGOS: Acara larian terulung di Petaling Jaya, PJ Half Marathon kembali untuk edisi ke-31 yang dijadualkan berlangsung pada 25 Ogos ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, seramai 10,000 peserta mengesahkan penyertaan dengan 259 peserta dari 42 negara turut mendaftar.

Katanya, empat kategori akan dipertandingkan iaitu larian 30 kilometer (km) terbuka, 21km terbuka, 10km terbuka serta 3km Fun Run.

“Edisi kali ini juga menyaksikan pendaftaran penyertaan ditutup lebih awal daripada yang disasarkan ekoran sambutan hangat daripada pelari tempatan dan luar negara.

“Ia secara tidak langsung menjadikan prestij acara PJ Half Marathon semakin meningkat serta menarik ramai penyertaan antarabangsa pada setiap tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MBPJ, di sini.

Mohd Sayuthi berkata, peserta larian kini boleh memuat turun aplikasi program yang berfungsi membuat ‘live-tracking’ larian peserta, di samping mudah diakses, interaktif dan berinformasi di peranti Android (playstore) dan iOS (appstore).

Pada masa sama, katanya, jalan utama yang terbabit akan ditutup antaranya Jalan Gasing, Jalan Templer, Jalan Universiti serta Jalan Sultan.

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar (kanan) memegang medal PJ Half Marathon 2019

“Polis Daerah Petaling Jaya akan membuat kawalan trafik secara berperingkat bermula jam 4 pagi di jalan berkenaan.

“Seramai 100 anggota polis trafik serta 50 anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas bagi menjamin kelancaran serta keselamatan PJ Half Marathon semua peserta mahupun orang awam,” katanya.

PJ Half Marathon 2019 dianjurkan oleh MBPJ dan Persatuan Olahraga PARA Selangor dengan kerjasama Puncak Ventures SRA Sdn Bhd.

Turut menjayakan acara ini ialah 100 PLUS & ICE MOUNTAIN (F&N Beverages Marketing Sdn Bhd), ULTRON, PEROZIN (Pharmaniaga Pristine Sdn Bhd), UNITAR, SUUNTO dan Beaute Library.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.pj-halfmarathon.com atau laman sosial (Facebook: www.facebook.com/pjhmarathon) atau hubungi Persatuan Olahraga PARA Selangor di talian 019-5541902 atau 012-6294083.


Pengarang :