AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

PKNS kekal relevan pacu pembangunan Selangor

SHAH ALAM, 2 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) komited untuk terus memacu pembangunan dan memperkukuh kedudukan sebagai agensi pembangunan sosio ekonomi di negeri ini sempena ulang tahun ke-55 perbadanan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, anak syarikat Kerajaan Negeri itu telah melalui pelbagai cabaran bagi terus mengukuhkan kedudukan yang boleh dibanggakan pada hari ini.

“Bukan sedikit cabaran dihadapi, namun atas kesungguhan dan kerja keras seluruh warga kerja serta berbekalkan visi untuk ‘Membina Komuniti, Memperkasa Kehidupan dan Merealisasi Impian’, PKNS terus kekal relevan dan lestari sepanjang 55 tahun penubuhannya.

“Antara kejayaan kita ialah membangunkan 11 Pusat Pertumbuhan Baharu meliputi kawasan seluas lebih 10,000 hektar yang telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina pembangunan bercampur terdiri lebih 150,000 unit kediaman dan lapan kompleks perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Khas Sempena Sambutan Ulang Tahun PKNS ke-55 di Pusat Konvensyen Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, lebih 1,000 kakitangan dirai serta membaca yasin dan doa selamat untuk kejayaan, kestabilan dan kekukuhan organisasi.

Mohd Azizi berkata, sepanjang tempoh 55 tahun, PKNS telah menerima lebih 50 anugerah berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, ia sekali gus membuktikan komitmen penuh pihaknya dalam menyampaikan hasil kerja cemerlang kepada pelanggan, pengurusan pentadbiran cekap dan kebertanggungjawaban PKNS terhadap kemakmuran negeri.

“Anugerah ini juga meningkatkan imej dan keyakinan pelanggan serta pemegang taruh negeri terhadap perbadanan ini.

“Buat masa ini, PKNS sedang merangka strategi bersesuaian mengikut arus kemodenan untuk memastikan ia kekal relevan bagi mendepani cabaran revolusi mendatang dan dapat terus menjadi pihan utama rakyat Selangor untuk mendapatkan produk hartanah berkualiti tinggi pada harga kompetitif,” katanya.


Pengarang :