Datuk Azizi Mohd Zai (tiga, kiri) dan Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar (kanan) membuat lawatan ke gerai jualan selepas Majlis Perasmian Program Promosi Jualan Tunas Niaga (PROTUNe) dan Program Perintis Keusahawanan (PPU) di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 23 Ogos 2019.-Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS komited lahirkan generasi usahawan

SHAH ALAM, 23 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus komited untuk melahirkan generasi usahawan melalui Promosi Jualan Program Tunas Niaga (PROTUNe) dan Program Perintis Usahawan (PPU) bagi menarik penyertaan pelajar sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, program yang mula diperkenalkan sejak tahun 1998 itu bertujuan memberikan pendedahan kepada suasana perniagaan sebenar kepada pelajar dalam usaha memupuk minat berniaga.

“Kita sudah melahirkan kira-kira 23,000 usahawan di pelbagai peringkat sejak program ini diperkenalkan dan ia dianjurkan setiap tahun bagi memberi peluang kepada pelajar berniaga.

“Saya dimaklumkan jumlah jualan baik dengan purata keuntungan RM300 sehari malahan ada yang dapat untung RM500 sehari. Kita harap melalui program sebegini PKNS dapat terus menyumbang kepada masyarakat dalam melahirkan usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian program PROTUNe dan PPU di ruang legar Kompleks PKNS Shah Alam, hari ini.

Program PROTUNe adalah program keusahawanan yang membabitkan pelajar sekolah menengah di Selangor yang terdiri daripada pelajar tingkatan 1, 2 dan 4 manakala PPU pula untuk sekolah rendah.

Program tahunan yang diadakan selama empat hari bermula 22 Ogos merupakan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan penyertaan sembilan buah sekolah rendah dan 50 sekolah menengah terpilih di setiap daerah.

Moh Azizi berkata, pihaknya tidak menetapkan sasaran jumlah jualan sepanjang program tersebut tetapi sehingga semalam sebanyak RM23,000 sudah berjaya dikutip hasil program itu.

Katanya, kebanyakkan peserta menampilkan produk tersendiri antaranya makanan, hasil tanaman dan pakaian.


Pengarang :