AGENDA NASIONAL

Platform ID Digital Nasional bantu pengguna, peniaga dikaji

KAJANG, 26 OGOS: Dalam usaha mewujudkan platform ID Digital Nasional yang mampu membantu pengguna berurus niaga secara selamat serta para peniaga mengembangkan perniagaan mereka, satu kajian akan bermula bulan depan untuk mengenal pasti model pelaksanaan yang sesuai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kajian sembilan bulan itu yang akan dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) itu juga akan mengambil kira MyKad dan infrastruktur swasta yang sedia ada sambil mengenal pasti dasar-dasar baharu yang diperlukan.

“Selain melaksanakan transaksi atas talian dengan lebih selamat dan mudah, ID Digital Nasional juga akan menyediakan lebih banyak akses kepada produk dan perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS) di Pusat Internet Desa (PID) di Pejabat Pos Beranang, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, ID Digital Nasional juga akan memberi peluang kepada peniaga mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai projek itu dalam sidang media, Gobind berkata, sepanjang tempoh kajian itu, SKMM akan mendengar dan mengumpul semua pandangan serta masalah termasuk mengenai isu keselamatan yang diutarakan oleh pemain industri dan mereka yang berkaitan.

Sementara itu, Gobind berkata, buat masa ini, 10 buah PID sudah menawarkan perkhidmatan PeDAS, antaranya di Tanjung Malim, Perak; Tanjung Kling (Melaka), Kuala Nerang (Kedah), Balik Pulau (Pulau Pinang), Kuala Kurau (Perak), Sungai Koyan (Pahang), dan Beranang (Selangor).

Kementerian, katanya, menyasarkan tambahan 22 lagi PeDAS menjelang hujung tahun depan di PID seluruh negara.

Tambahnya, buat masa ini terdapat 42 PID dengan kerjasama POS Malaysia, di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi komuniti luar mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk kursus pembangunan laman web dan kursus keusahawanan.

“PeDAS merupakan perkhidmatan terbaru yang disediakan di PID, untuk membolehkan pengusaha IKS luar bandar menimba kemahiran dan ilmu dalam bidang e-dagang, untuk memperluaskan perniagaan mereka.

“PeDAS dapat meringankan beban para usahawan dan ‘solo-preneurs’ yang tidak mempunyai sistem sokongan yang bersepadu atau pengetahuan lengkap dalam pemasaran digital, penjenamaan, pensijilan dan sebagainya, untuk menjayakan perniagaan e-dagang mereka,” katanya.

Gobind berkata ramai usahawan IKS di luar bandar telah mendapat manfaat daripada menggunakan platform e-dagang untuk memasarkan produk mereka, seperti yang dapat dilihat dalam dua projek rintis yang dimulakan di Tanjung Malim dan Tanjung Kling pada hujung tahun lepas.

“Saya memang tidak sabar untuk melihat ribuan pengusaha IKS luar bandar berjaya memperluaskan perniagaan ke peringkat nasional atau antarabangsa, hasil daripada inisiatif ini dan juga inisiatif ID Digital Nasional yang akan diperkenalkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :