AGENDANASIONAL

PLUS sumbang 300 kon keselamatan kepada syarikat kenderaan berat

SHAH ALAM, 3 OGOS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyumbangkan 300 kon keselamatan bernilai RM10,000 kepada tiga buah syarikat pengusaha kenderaan berat utama di Lembah Klang sebagai langkah membentuk tabiat pemanduan selamat.

Kon keselamatan itu disampaikan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, kepada Persatuan Haulier Malaysia (AMH), Persatuan Pemilik Lori Selangor dan Kuala Lumpur serta Persatuan Pemilik Lori Tipper Selangor dan Kuala Lumpur sebelum ia diedarkan kepada pemandu masing-masing.

Katanya, sumbangan itu antara usaha untuk menjaga keselamatan pengguna lebuh raya bagi mengurangkan kemalangan berpunca daripada lori yang terkandas di lebuh raya.

“Penggunaan kon keselamatan amat penting untuk memberi amaran kepada pengguna dan mengelakkan kemalangan apabila lori terkandas di lebuh raya.

“Kon keselamatan itu perlu diletakkan dalam jarak selamat di belakang lori yang terkandas bagi memberi amaran kepada pengguna lebuh raya lain, terutama penunggang motosikal.

“PLUS sentiasa berkolaborasi dengan pelbagai pihak dalam meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya termasuk kolaborasi bersama pihak penguatkuasaan seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya,” katanya.

Majlis penyerahan yang berlangsung semalam di Persada PLUS Subang turut dihadiri Presiden AMH, Datuk Nazari Akhbar; Setiausaha Agung Persatuan Pemilik Lori Selangor dan Kuala Lumpur, Ng Yoon Kin dan Pengerusi Persatuan Pemilik Lori Tipper Selangor dan Kuala Lumpur, Tan Boon Hing.

Zakaria berkata, sumbangan kon keselamatan itu adalah lanjutan daripada Program Keselamatan PLUS Bersama Komuniti Lebuhraya termasuk pengusaha syarkat lori yang dianjurkan, baru-baru ini.

Program keselamatan yang membabitkan lebih daripada 400 pemandu dan pengusaha syarikat lori itu turut menyentuh berhubung penggunaan kon keselamatan untuk memberi amaran kepada pengguna lebuh raya.


Pengarang :