FOTO PLUS
AGENDANASIONAL

PLUS terima pengiktirafan Penilaian Karbon Rendah Bangunan

SHAH ALAM, 22 OGOS: Ibu Pejabat PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Persada PLUS muncul sebagai syarikat konsesi lebuh raya pertama di negara ini menerima pengiktirafan One Diamond bagi Penilaian Karbon Rendah Bangunan, baru-baru ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, pengiktirafan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) itu susulan kejayaan mengurangkan peratusan pelepasan gas karbon dioksida dan penggunan tenaga elektrik yang lebih efisien.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 6.75 peratus (bersamaan 286.78 tan metrik) gas karbon dioksida dan penjimatan tenaga elektrik sebanyak 413,228 kilowatthour (kWh).

“Ia tercapai melalui pemasangan Variable Speed Drive (VSD) untuk sistem penghawa dingin, mengurangkan penggunaan masa sistem penghawa dingin, membangunkan teknologi solar fotovolta, melaksanakan de-lamping (mengurang/mengalih penggunaan lampu fluorescent di lokasi pencahayaan mencukupi dan lampu tidak diperlukan) dan memasang motion sensor lampu di tandas serta surau.

“Pencapaian ini melakar satu lagi kejayaan bagi PLUS untuk memperluaskan Teknologi Hijau dalam usaha memulihara alam sekitar kepada komuniti dan kakitangan kami di bangunan Persada PLUS,” katanya dalam kenyataan.

Azman berkata, Inisiatif hijau PLUS bermula dengan pelancaran Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik berasaskan tenaga solar pertama di Malaysia di Restoran Jejantas Ayer Keroh (Arah Selatan) pada Disember 2018.

Katanya, ia disusuli kawasan Rehat dan Rawat (R&R) pertama di Malaysia yang menggunakan tenaga solar fotovolta iaitu R&R Machap (Arah Utara) pada April tahun ini.

“Berdasarkan Pelan Halatuju Hijau PLUS, panel solar fotovolta turut akan dipasang di R&R yang lain seperti Restoran Jejantas Sungai Buloh, Restoran Jejantas Ayer Keroh, R&R Dengkil (Arah Utara dan Selatan), R&R Gurun (Arah Utara dan Selatan), R&R Gunung Semanggol (Arah Selatan), R&R Tapah (Arah Utara dan Selatan) dan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.


Pengarang :