BERITA UTAMA

PM akan berucap di sekolah musim panas Jepun

FUKUOKA (Jepun), 5 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual berucap di sebuah sekolah musim panas, ‘Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun’, semasa lawatan kerja tiga hari beliau ke sini bermula Selasa.

Dr Mahathir dijadual berucap berhubung “Bagaimana Sains dan Teknologi akan menyumbang kepada Keamanan Dunia” di sekolah itu, pada Rabu.

Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun adalah sebuah program sekolah musim panas intensif untuk pelajar sekolah tinggi supaya mereka menjadi peserta aktif dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Tahun ini adalah tahun ke-16 siri syarahan tahunan sekolah itu dan Dr Mahathir menjadi penyampai utamanya sejak ia dilancarkan pada 2003.

Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun juga akan meraikan Dr Mahathir pada satu majlis makan malam pada Selasa, sehari sebelum syarahan itu.

Menurut laporan media, kepulauan Jepun dilanda cuaca panas melampau sejak penghujung musim hujan pada akhir Julai, yang mengakibatkan beberapa kes kematian dan ada yang dirawat di hospital kerana mengalami strok haba.

Suhu di Hakata-ku, Fukuoka pada Isnin diramalkan boleh meningkat sehingga 34 darjah Celsius dan sebuah aplikasi cuaca malah mencadangkan “rasanya seperti 38 darjah Celsius”.

Dr Mahathir juga dijadualkan berucap di Institut Kepimpinan Asia Kyushu pada Khamis.

Semasa di Fukuoka, Dr Mahathir juga dijadual menerima anugerah ijazah doktor kehormat dari Universiti Antarabangsa Jepun dan berjumpa penasihat khas kepada Perdana Menteri Jepun, Hiroto Izumi.

-BERNAMA


Pengarang :