AGENDANASIONAL

PM: Dr Siti Hasmah sudah pulih

HANOI, 28 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sudah pulih daripada keracunan makanan yang ringan, tetapi belum dibenarkan keluar dari hospital.

Dr Mahathir, yang mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam hari ini, berkata sebaik tiba di tanah air, beliau akan terus melawat Dr Siti Hasmah yang sedang menerima rawatan di Prince Court Medical Centre di Kuala Lumpur sejak Isnin lepas.

“Dia (Dr Siti Hasmah) sudah pulih, tapi masih di hospital lagi.

“Saya balik ini, saya akan pergi ke hospital melawat (Dr Siti Hasmah). Sudah rindu… dah 60 tahun (berkahwin).

“Orang lain kahwin berapa tahun, buat belanja kenduri besar-besar, panggil ramai orang tetapi dua tahun (sudah) bercerai,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Isnin lepas, Dr Siti Hasmah menerima rawatan di Prince Court Medical Centre berikutan keracunan makanan yang ringan.

Menurut jurucakap Pejabat Perdana Menteri, Dr Siti Hasmah agak kurang sihat dan sedang berehat.

Dr Siti Hasmah sepatutnya menemani Dr Mahathir untuk lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam dan mempunyai program asing termasuk melawat Vietnam National Academy of Music.

– BERNAMA


Pengarang :