-fotoBERNAMA (2019) COPYRIGHT RESERVED
AGENDANASIONAL

PM lawat Vietnam minggu depan

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vietnam minggu depan akan mengukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua negara Asia Tenggara itu, kata Duta Besar Vietnam ke Malaysia, Le Quy Quynh.

Le berkata, lawatan itu juga akan meletakkan kembali ke landasan sasaran US$15 bilion dagangan dua hala kedua-dua negara menjelang 2020, seperti digariskan Pelan Tindakan Malaysia-Vietnam (2017-2019).

“Lawatan ini amat penting. Ia akan membantu membangunkan hubungan akrab antara kedua-dua negara. Saya percaya sasaran US$15 bilion akan dapat dicapai pada 2020.

“Pada 2015, kita meningkatkan hubungan ini kepada rakan kongsi strategik dan kini, kita mempunyai hubungan yang amat baik dalam semua perkara daripada politik hinggalah kepada pertahanan, keselamatan, dagangan dan pendidikan,” katanya kepada Bernama pada majlis sempena Hari Kebangsaan ke-74 negara itu pada 2 September depan.

Duta itu berkata, kedua-dua negara menikmati hubungan baik sejak menjalin hubungan dua hala pada 1973, tetapi masih banyak peluang perdagangan dan pelaburan yang boleh diteroka oleh ahli peniagaan Malaysia-Vietnam.

“Dalam aspek pelaburan, Vietnam boleh melabur untuk sektor pertanian dan pemprosesan di Malaysia manakala rakyat negara ini boleh melabur di sektor hartanah dan kilang elektronik,” ujarnya.

Eksport Vietnam ke Malaysia ketika ini adalah beras, kopi dan elektronik manakala Malaysia tertumpu kepada eksport minyak dan gas serta produk elektronik.

Le berkata, bagi kalangan negara ASEAN, hubungan dagang Vietnam-Malaysia pada 2018 bernilai US$13.5 bilion, iaitu di kedudukan kedua selepas Singapura.

Sementara itu, Malaysia adalah pelabur utama di Vietnam dalam kalangan negara ASEAN dan tempat kelapan secara keseluruhan dengan nilai kira-kira US$13 billion, katanya.

Mengulas mengenai pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia, Le berkata, Kerajaan dan pihak berkuasa negara itu menentang aktiviti berkenaan dan cuba melakukan pencegahan.

Duta itu berkata, Ho Chi Minh pernah mencadangkan supaya memperkenalkan lesen kepada nelayan Vietnam untuk menangkap ikan di perairan Malaysia tetapi belum mendapat maklum balas.

“Ini bagi mengelak mereka daripada ditahan kerana menceroboh perairan negara. Kami masih berunding dengan kerajaan Malaysia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :