Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang sesak akibat mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

PM: Selidik punca gangguan di KLIA

HANOI, 28 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu menyelidik punca sebenar gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata gangguan sistem di lapangan terbang tidak seharusnya berlaku.

“Kita kena selidik kenapa (kita) mengalami ‘breakdown’… sepatutnya ia tidak berlaku kerana sistem yang sama turut digunakan di lapangan terbang yang lain dan mereka tidak mengalami masalah seperti kita,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Hanoi di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, gangguan sistem di lapangan terbang semakin pulih namun operasi masih ‘tidak licin’.

Sejak Rabu, KLIA mengalami gangguan sistem dan menyebabkan penumpang beratur panjang di kaunter daftar masuk selain berlakunya pembatalan serta kelewatan penerbangan.

Gangguan sistem itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Semalam, MAHB membuat laporan polis berhubung gangguan sistem di KLIA sejak Rabu lepas dan polis berkata kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataan berkata MAHB tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA mulai Rabu lepas disebabkan perbuatan berniat jahat.

Jumaat lepas, MAHB dilaporkan berkata kegagalan rangkaian dikenal pasti sebagai punca gangguan sistem di KLIA dan pengendali lapangan terbang itu mengambil langkah untuk menggantikan peralatan rangkaiannya.

– BERNAMA


Pengarang :