AGENDANASIONAL

PM tiba di Fukuoka untuk lawatan kerja

FUKUOKA (Jepun), 7 OGOS : Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Fukuoka pada Rabu pagi selepas menjadualkan semula lawatan kerjanya ke wilayah ini berikutan amaran taufan.

Dr Mahathir, yang pada mulanya dijadualkan berada di Fukuoka pada Selasa tetapi terpaksa menjadualkan ketibaannya pada hari berikut ekoran amaran taufan itu, mendarat di Lapangan Terbang Fukuoka kira-kira 7 pagi Rabu (6 pagi di Malaysia) dan tiba di hotel penginapan beliau kira-kira 7.45 pagi. (Jepun awal satu jam daripada waktu Malaysia).

Dr Mahathir mempunyai jadual yang padat semasa lawatan dua hari itu.

Program beliau di Fukuoka akan bermula kira-kira sejam selepas ketibaannya di hotel (9 pagi waktu Jepun) dengan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Antarabangsa Jepun (IUJ) bagi menghargai sumbangan beliau ke arah kejayaan membangunkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun.

Beliau kemudian akan mengunjungi Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun (JFLS) di Bandaraya Munakata, kira-kira sejam perjalanan berkereta dari Fukuoka, untuk menyampaikan syarahan mengenai ‘Bagaimana Sains dan Teknologi boleh Menyumbang kepada Keamanan Dunia’ di sekolah musim panas itu.

Dr Mahathir menjadi penyampai utama syarahan di sekolah musim panas itu dan tahun ini menandakan penampilan ke-16 beliau dalam syarahan tahunan di JFLS.

JFLS adalah program khusus yang diadakan setiap tahun bagi pelajar sekolah tinggi yang terpilih. Program dua minggu itu bermatlamat memperkembangkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar dalam pelbagai bidang menerusi program pertukaran bermakna bersama-sama tokoh terkemuka.

Selain JFLS, Dr Mahathir akan turut berucap di Institut Kepimpinan Kyushu-Asia (KAIL) pada Khamis (8 Ogos) dan akan berkongsi pandangan beliau tentang ‘Dilema Baharu di Asia yang Pesat Berkembang’ bersama-sama ahli perniagaan serta kalangan profesional di Jepun.

Diasaskan pada 2004, KAIL adalah pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan infrastruktur intelektual dan sosial bagi program pendidikan global.

Dr Mahathir juga dijadual menerima kunjungan hormat Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun Hiroto Izumi, pada Khamis.

“Lawatan perdana menteri ke Fukuoka dijangka terus memperteguhkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, terutamanya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat di bawah Dasar Pandang ke Timur 2.0,” menurut kenyataan Wisma Putra bersempena lawatan itu.

Jepun adalah rakan dagang global keempat terbesar Malaysia pada 2018 dengan hubungan dagangan dua hala mencatatkan sejumlah RM132.57 bilion (US$32.86 bilion).

-BERNAMA


Pengarang :