Youssef Chahed pada 8 Ogos 2019 mengumumkan akan menyerahkan kertas pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden yang dijadual berlangsung pada September. Gambar dirakam pada 1 Mei 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

PM Tunisia bakal bertanding dalam pilihan raya presiden

TUNIS, 9 OGOS: Perdana Menteri Tunisia Youssef Chahed pada Khamis mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan kertas pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden yang dijadual berlangsung pada September, lapor agensi berita China Xinhua.

“Ia adalah satu tanggungjawab besar untuk menjadi calon dalam pilihan raya presiden,” kata Chahed pada mesyuarat khas majlis negara partinya Tahya Tounes di ibu kota Tunisia.

Youssef berkata beliau mahu pencalonannya memecahkan sistem undang-undang lama yang kini membelenggu Tunisia, sambil menegaskan bahawa pada masa yang sama, beliau adalah calon “gerakan kebangsaan.”

Beliau dijangka menyerahkan pencalonannya kepada Pihak Berkuasa Tinggi bagi Pilihan Raya Bebas Tunisia pada Jumaat.

Jumlah calon yang telah menyerahkan kertas pencalonan bagi pilihan raya awal presiden ini meningkat kepada 57.

-BERNAMA


Pengarang :