AGENDANASIONAL

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

KUANTAN, 18 OGOS: Polis akan memanggil penganjur perhimpunan anti-Lynas di Taman Gelora di sini hari ini, kerana tidak mematuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, beliau dimaklumkan perhimpunan anjuran Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) itu tidak menerima kelulusan pemilik premis Taman Gelora.

Katanya, perkara itu disahkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin semasa ditanya pada petang semalam, walaupun mengesahkan MPK menerima permohonan daripada penganjur.

“Perhimpunan ini tidak menepati peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012. Saya hairan mengapa mereka masih meneruskan perhimpunan sedangkan semua keperluan yang diperlukan telah diterangkan dengan jelas.

“Kita akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang selepas merujuk kepada pucuk pimpinan polis negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata, keperluan mendapatkan kelulusan pemilik premis telah diterangkan pada pertemuan selama sejam dengan lima wakil SMSL termasuk Pegerusinya, Tan Bun Teet pada 7 Ogos lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Katanya, setakat ini, pihak penganjur hanya menenuhi syarat memberikan notis kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.

Sementara itu, perhimpunan selama dua jam bermula 7.30 pagi sekadar menarik kehadiran kira-kira 300 orang, dengan kebanyakan mereka membawa sepanduk menyatakan bantahan kepada operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng, di sini.

Selain sepanduk, mereka juga membawa poster gambar pemimpin negara yang didakwa gagal menunaikan janji untuk menutup Lynas pada manifesto pilihan raya umum lalu, selain turut melibatkan aktiviti ‘flash mob’.

Turut kelihatan di Taman Gelora ialah Ahli Parliman Bentong, Wong Tack dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang iaitu Semambu, Lee Chean Chung dan Teruntum, Sim Chong Siang.

Tan berkata, mereka sedang mempertimbangkan membuat permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan melanjutkan lesen operasi Lynas yang sepatutnya tamat bulan hadapan, kepada enam bulan dengan syarat tertentu.

“Kita bukan membantah Lynas, tetapi cara mereka mengendalikan sisa operasi itu. Kita puji tindakan kerajaan haramkan Lynas daripada terus melakukan penyelidikan dan pembangunan sisa Water Leach Purification (WLP) untuk condisoil.

“Apa yang kita lakukan bukan untuk kepentingan sendiri, tetapi untuk penduduk Kuantan termasuk pekerja Lynas yang paling dekat dan berkemungkinan terdedah kepada bahaya sisa radioaktif itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :