AGENDAJENAYAH

Polis ambil keterangan Zakir, pengerusi dan setiausaha Dong Zong

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Polis hari ini mengambil keterangan daripada pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik, Pengerusi Persatuan Dong Zhong, Tan Tai Kim, dan setiausaha persatuan itu, Ng Chai Heng, di Ibu Pejabatnya di Bukit Aman di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan berkata Pengerusi dan Setiausaha Persatuan Dong Zhong itu dipanggil untuk dirakam percakapan mereka berhubung beberapa laporan polis yang dibuat terhadap persatuan itu.

“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam),” katanya.

Beliau berkata Zakir pula hadir untuk dirakam percakapan atas pengaduan yang dibuat oleh beliau terhadap beberapa ahli politik, dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, kerana memfitnah.

Zakir yang diiringi peguamnya, Datuk Akhberdin Abd Kadir berada di Bukit Aman sejak pukul 3.38 petang, dan sehingga pukul 6.30 petang proses mengambil keterangan masih belum selesai.

Sebelum ini, polis telah merakam kenyataan penceramah bebas dari India yang mendapat status pemastautin tetap di Malaysia itu dua kali iaitu pada hari Jumaat dan Isnin lepas.

Zakir dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu dan ini mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Penceramah itu dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram serta menghasut melalui ucapan berbaur kebencian, dan Khamis lepas polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :