BERITA UTAMA

Polis buka talian hotline khas salur maklumat Nora Anne

NILAI, 11 OGOS: Polis hari ini membuka talian hotline khas bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang dari sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, talian itu dikendalikan bilik gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Balai Polis Pantai, Seremban dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian itu di nombor 0111-2285058.

Berhubung perkembangan operasi SAR, beliau berkata setakat ini pihaknya memeriksa kira-kira 30 rumah di sekitar resort berkenaan sebagai sebahagian daripada operasi. 

Katanya, sebelum ini pihaknya tidak pernah menerima kes orang hilang di mana-mana resort di kawasan itu dan kes Nora Anne adaah pertama sejak resort berkenaan beroperasi.

“Sepanjang tempoh 10 tahun, di kawasan ini tidak pernah ada masalah orang hilang yang dilaporkan, tetapi orang sesat ada di Gunung Berembun,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pantai, Seremban hari ini. 
 
Sementara itu, Mohamad berkata Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz hari ini turut berkenan mencemar duli bertemu petugas operasi SAR yang bertugas pada Hari Raya Aidiladha. 

Operasi bagi mengesan Nora Anne yang memasuki hari kelapan hari ini membabitkan 296 anggota. 

Terdahulu, Mohamad berkata polis tidak pernah mengeluarkan arahan kepada mana-mana pengusaha resort di Pantai supaya menghentikan sementara aktiviti rekreasi luar seperti mendaki Gunung Berembun.

“Malah kita galak orang pergi ke bukit (gunung) Berembun, kalau mereka pergi…mereka terjumpa (petunjuk kehilangan mangsa), ia membantu (operasi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan jurucakap beberapa resort di kawasan itu yang mendakwa menerima arahan daripada pihak berkuasa supaya menghentikan sementara aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung dan ‘jungle trekking’ buat pelancong yang menginap.

Mohamad berkata selain skala pencarian yang kini tertumpu di empat kilometer radius dari lokasi kejadian, polis juga bercadang untuk pergi ke kawasan gunung berkenaan namun belum dimuktamadkan.

Pemerhatian Bernama turut mendapati pergerakan keluar masuk kenderaan yang membawa pelancong ke resort berhampiran juga tidak putus-putus, sejak Isnin lalu.

Mereka turut singgah ke khemah petugas untuk bertemu anggota keselamatan dan media bagi menzahirkan simpati terhadap keluarga Nora Anne serta turut berminat untuk mengetahui perkembangan semasa operasi SAR berkenaan.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada 8 pagi , 4 Ogos lalu.

-BERNAMA


Pengarang :