AGENDANASIONAL

Polis kenal pasti identiti mangsa kemalangan maut di Melaka

MELAKA, 10 OGOS: Polis mengenal pasti identiti enam mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala ke Simpang Ampat, Alor Gajah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kemalangan itu membabitkan kenderaan jenis Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max serta sebuah treler tanpa muatan.

“Lima sekeluarga yang menaiki kereta Isuzu D-Max itu dikenali sebagai Azahar Ahmad, 57, iaitu pemandu dan Habibah Ahmad, 62, iaitu kakak kepada Azahar yang merupakan penumpang duduk di sebelah pemandu.

“Turut maut pada kejadian terbabit ialah isteri mangsa, Halimahtun Aris Padzil, 24, dua anak pemandu iaitu Alia, 17, dan Alisa, 15, yang duduk di bahagian penumpang di belakang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu Mitsubishi Triton yang meninggal dunia pula dikenali sebagai Wang Chow Kuang, 51, manakala anak perempuanya, Wang Yi Tong, 2, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

A. Asmadi berkata pemandu treler terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, waris mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Azri yang ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, memaklumkan jenazah Azahar dan Habibah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Brisu, Simpang Ampat.

Katanya jenazah dua beradik iaitu Alia dan Alisa akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Yong Peng, Johor, manakala jenazah Halimahtun akan dikebumikan di Kampung Changkat Tin, Perak.

Menurut waris Wang, jenazah lelaki itu akan dibawa ke rumah keluarganya di Machap Umboo, Alor Gajah.

-BERNAMA


Pengarang :