AGENDAJENAYAH

Polis masih siasat individu di sebalik akaun hina Rasulullah

GEORGE TOWN, 8 OGOS: Polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti identiti sebenar individu yang menggunakan nama Wendy Loong di laman sosial, Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasegaran hari ini berkata setakat ini polis masih belum dapat mengesan pemilik akaun Facebook itu yang dipercayai menggunakan akaun palsu dan memuat naik status berbaur penghinaan.

“Polis masih menjalankan siasatan dan tidak berhenti (menyiasat), kami sedang cuba mengenal pasti identiti sebenar pemiliknya dan polis mengalami sedikit kesukaran kerana sekarang ini ada pelbagai teknologi yang boleh dibuat bagi mengelak akaun itu dikesan,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas program Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri Pulau Pinang di Gurney Plaza, di sini.

Narenasegaran berkata, masyarakat juga seharusnya bertanggungjawab dan menjaga sensitiviti agama serta kaum dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik status atau kenyataan yang boleh mengganggu gugat keharmonian.

Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik status yang menghina agama boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, individu yang menggunakan nama Wendy Loong di Facebook yang menghina Nabi Muhammad dan Islam menggunakan akaun palsu.

Ekoran itu, lebih 400 laporan polis dibuat pelbagai pihak di seluruh negara untuk mendesak tindakan tegas diambil terhadap individu berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :