AGENDANASIONAL

Polis rampas dadah RM255,000

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah disyaki methamphetamine bernilai RM255,000 dalam operasi di Serdang Perdana, Seri Kembangan, pada 23 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Mohd Rosdi Daud berkata, dalam operasi bermula 10 malam itu, polis menahan seorang lelaki di sebuah premis dan menemui lima peket plastik disyaki berisi methamphetamine.

“Pada masa sama, polis mengekori sebuah kereta dipercayai rakan suspek dan menahannya di sebuah stesen minyak tidak jauh dari lokasi serbuan pertama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki masing-masing berumur 28 dan 29 tahun serta mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah itu direman sehingga 30 Ogos bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis turut menyita sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk mengedar dadah.

Mohd Rosdi berkata, siasatan awal polis mendapati kedua-dua lelaki terbabit mula aktif kira-kira tiga bulan lalu dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan dijual kepada pengedar lain di sekitar Lembah Klang.

-BERNAMA


Pengarang :