Dr Zakir Naik (kanan) dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman pada 16 Ogos lalu. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Polis sambung rakam percakapan Dr Zakir Naik Isnin ini

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyambung semula prosedur merakam percakapan penceramah bebas, Dr Zakir Naik pada Isnin ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ia susulan permohonan penangguhan prosedur berkenaan oleh individu tersebut yang dibuat semalam kerana mahu berbuka puasa.

“Dr Zakir meminta prosedur rakaman percakapannya yang dibuat semalam supaya ditangguhkan kerana ingin berbuka puasa.

“Beliau bagaimanapun akan kembali hadir memberi keterangan Isnin ini pada 3 petang,” menurutnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Semalam, Dr Zakir Naik memberi keterangan polis di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Penceramah bebas tersebut hadir di Bukit Aman selepas solat Jumaat dilihat meninggalkan ibu pejabat polis itu pada 8.15 malam tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Dalam pada itu, polis turut memaklumkan akan memanggil ahli perniagaan, Tan Sri Khoo Yew Yin juga pada Isnin ini sementara Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.

Masing-masing dipanggil berhubung kenyataan dikeluarkan yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan satu lagi kenyataan mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah sebagai satu bentuk ‘Islamisasi’.

– BERNAMA


Pengarang :