Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab (dua, kiri) menunjukkan dadah jenis pil Ecstacy berwarna merah jambu dan hijau yang dirampas dalam dua operasi berlainan di Shah Alam dan Petaling Jaya oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Kontinjen Selangor pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib (kanan). Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAHNASIONAL

Polis Selangor rampas dadah lebih setengah juta di Setia Alam dan Petaling Jaya

SHAH ALAM, 21 OGOS: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah di pusat karaoke dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM701,226 dalam dua serbuan berasingan di Setia Alam dan Petaling Jaya pada Ahad dan Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata dalam serbuan pertama kira-kira pukul 4.00 pagi di satu unit kondominium di Setia Alam pada Ahad, seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM463,420 yang ada bersamanya turut dirampas.

Beliau berkata penahanan suspek yang bekerja sebagai pemandu Grab itu dibuat susulan serbuan di sebuah pusat karaoke di kawasan Batu Tiga Lama, Klang dekat sini kira-kira tiga jam sebelum itu.

“Serbuan ke atas pusat karaoke pada pukul 12.30 tengah malam itu dibuat susulan risikan dan maklumat awam yang mengatakan terdapat kegiatan penyalahgunaan dadah di situ. Hasil soal siasat ke atas seorang pelanggan lelaki serta dua pekerja wanita yang ditahan membawa kepada penangkapan suspek terbabit.

“Semasa suspek ditahan dalam serbuan di rumahnya, polis menemui tiga paket plastik berisi 550 biji pil ecstasy berwarna merah jambu dan tiga paket plastik berisi 650 biji pil ecstasy berwarna hijau disimpan dalam satu beg yang sedang dipegangnya,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Tambah Ab Rashid, pemeriksaan lanjut ke atas rumah suspek menemukan 800 biji pil erimin 5 disimpan dalam satu beg sandang selain 9,000 biji pil ecstasy berwarna merah jambu, 4,014 biji pil ecstasy berwarna hijau dan satu bungkusan plastik mengandungi 500 gram disyaki ketamin disimpan di dalam satu beg kertas.

Beliau berkata selain pelbagai jenis dadah itu, sebuah kereta jenis Perodua Bezza, wang tunai berjumlah RM1,012 dan dua telefon bimbit milik suspek turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai baharu berjinak-jinak dalam kegiatan pengedaran dadah kira-kira enam bulan lepas.

Beliau berkata lelaki itu direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ab Rashid berkata dalam serbuan kedua kira-kira pukul 6.30 petang Isnin di satu unit pangsapuri di Petaling Jaya, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun kerana turut disyaki mengedar dadah di pusat karaoke sejak beberapa bulan lepas, hasil risikan dan maklumat awam.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas rumah yang disewa suspek tidak bekerja itu dan kereta Toyota Camry miliknya menemukan pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM237,806 disyaki untuk jualan.

“Hasil serbuan itu, polis merampas 85 paket plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja, pil ecstasy (1,376 biji), enam bekas plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu, sebanyak 33 paket plastik disyaki mengandungi serbuk ecstasy dan 470 pil Erimin 5 dibungkus dalam 47 aluminium foil. Kesemua dadah ini disimpan di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas kereta suspek pula menjumpai satu beg kertas berisi 40 paket kecil ganja dengan anggaran berat 235 gram selain satu paket plastik berisi dadah disyaki syabu seberat 100 gram,” katanya sambil memaklumkan suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Ab Rashid berkata polis turut merampas wang tunai RM2,000 serta seutas rantai emas bernilai RM6,300 milik suspek dalam serbuan berkenaan dan lelaki itu direman sehingga Isnin hadapan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua pengedar dadah itu tidak berkaitan antara satu sama lain namun polis sedang mengesan sumber sebenar dadah itu diperolehi.

Tegas Ab Rashid, modus operandi sindiket pengedaran dadah kini dilihat sedang ‘beralih’ daripada pelanggan di pusat hiburan kepada pusat karaoke bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

-BERNAMA


Pengarang :