Selangorkini
AGENDA JENAYAH

Polis tahan dua individu bantu siasatan bendera pasang terbalik

LANGKAWI, 31 OGOS: Polis menahan dua individu petang ini bagi membantu siasatan kes bendera negeri Kedah dan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di premis mereka yang terletak di Jalan Pandak Mayah, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan dibuat 5 petang ini selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat orang awam 11.42 pagi tadi.

Beliau berkata pengadu tersebut melaporkan dia yang mempunyai urusan di kawasan berkenaan ternampak kedua-dua bendera dipasang secara terbalik di premis yang terletak di Pekan Pandak Mayah itu.

“Siasatan mendapati tempat kejadian merupakan sebuah kedai runcit serbaneka di suatu kawasan bangunan lot kedai dua tingkat yang telah beroperasi sejak 15 tahun lalu.

“Hasil siasatan ke atas dua individu yang ditahan iaitu pemilik premis seorang lelaki berusia 60 dan wanita berusia 50 tahun, mereka mengaku terlibat dengan kes yang disiasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama.

Beliau berkata, suspek yang ditahan juga telah membuat satu laporan polis menyatakan bendera tersebut tersilap pasang.

“Suspek juga menyatakan kekesalan di atas kejadian tersebut. Ekoran daripada kejadian ini suspek telah membetulkan semula kedudukan kedua-dua bendera tersebut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :