AGENDAJENAYAH

Polis tahan lima lelaki main judi atas talian

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Lima lelaki termasuk penjaga premis judi atas talian ditahan sepasukan polis dalam serbuan di dua premis di Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam serbuan pertama, tiga lelaki ditahan termasuk penjaga premis kerana menjalankan perniagaan pusat snuker tanpa mempunyai lesen yang sah serta disyaki menjadi agen dalam menjalankan perjudian atas talian.

“Serbuan oleh cawangan Perjudian, Anti Maksiat dan Kongsi Gelap D7 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu turut menahan dua lagi lelaki yang ketika itu sedang leka bermain judi melalui telefon bimbit. Ketiga suspek yang ditahan berusia unmur antara 43 dan 69 tahun.

“Dalam kes kedua, dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun ditahan di depan sebuah kedai snuker di Taman Tenaga, Cheras, pada pukul 8.00 malam kerana kesalahan yang sama, dan mereka didapati positif ujian saringan awal air kencing,” katanya kepada Bernama.

Tegasnya, kesemua lima suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1982 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA


Pengarang :