AGENDAJENAYAH

Polis tahan tiga suspek curi motosikal

GEORGE TOWN, 5 OGOS : Polis menahan tiga orang lelaki yang disyaki terlibat dengan kes-kes curi komponen motosikal dengan menyasarkan konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi yang tinggal di hotel-hotel di sekitar George Town, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata tiga lelaki berumur antara 23 dan 31 tahun itu ditahan 3.20 petang di sekitar Georgetown dan Bukit Mertajam, dekat sini.

“Terdahulu polis menerima laporan yang dibuat seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Thailand yang menginap di sebuah hotel di Jalan Macallum, di sini selepas komponen motosikalnya dan dua lagi rakan didapati hilang kira-kira pukul 6.25 petang Sabtu,” katanya di sini hari ini.

Katanya semua penunggang motosikal berkuasa tinggi itu singgah di Pulau Pinang selepas berkonvoi dari ibu kota, dalam perjalanan menuju ke Thailand.

Beliau berkata dalam kejadian itu suspek mencuri tiga unit angkup brek, dua pam brek, sebuah topi keledar jenama BMW, dua set kotak peralatan dan alat pengecas motosikal yang jumlah semuanya dianggarkan RM40,000.

Che Zaimani berkata susulan laporan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hotel, polis berjaya menjejaki dan menahan ketiga-tiga lelaki berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan itu serta merampas semula barang yang dicuri mereka.

“Siasatan mendapati dua lelaki itu bertindak sebagai pencuri manakala seorang lagi rakan mereka yang menjadi ‘mastermind’ (dalang) mengatur rancangan dan menjual barang yang dicuri mereka dengan harga murah,”katanya.

Katanya selain itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri komponen motosikal itu dan hasil pemeriksaan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri komponen kenderaan dan polis percaya dengan penahanan mereka pihaknya dapat menyelesaikan beberapa kes curi komponen motosikal berkuasa tinggi di daerah ini. -BERNAMA


Pengarang :