AGENDANASIONAL

Portal Wilayahku semarak informasi buat warga kota

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melancarkan portal berita baharu, Wilayahku bagi memperluas capaian informasi dengan sasaran pembaca lebih 2 juta penduduk ibu kota.

Menterinya, Khalid Abd Samad berkata, portal berita itu adalah kesinambungan medium perkongsian berita berkaitan Wilayah Persekutuan kepada rakyat selepas pelancaran Akhbar Wilayahku pada 4 Januari lalu.

“Pengenalan portal berkenaan selaras dengan usaha menarik segmen pembaca dalam kalangan orang muda dan permintaan pembaca dari luar kawasan Wilayah Persekutuan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai perkembangan aktiviti masyarakat ibu kota. Portal berkaitan turut membolehkan pembaca memuat turun akhbar Wilayahku versi format dokumen mudah alih (PDF).

“Kepentingan mempunyai portal berita setanding dengan media arus perdana dan media baharu bagi sebuah kementerian seperti KWP amat sejajar dengan perkembangan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan dan Pelancaran Portal Berita Wilayahku di Putrajaya, hari ini.

Khalid berkata, pihak korporat dan agensi kerajaan diharapkan dapat memberikan sokongan kepada Wilayahku agar ia dapat memberikan sumbangan lebih luas kepada masyarakat di luar sana.

Katanya, akhbar Wilayahku 24 halaman diterbitkan setiap minggu sudah memasuki edisi ke-32 dan berjaya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kota malahan diterima baik penduduk di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Dengan cetakan sebanyak 50,000 naskhah setiap minggu, akhbar Wilayahku berjaya mendapat perhatian warga kota. Jumlah cetakan ini sebenarnya berjaya menghampiri malah mungkin lebih tinggi berbanding akhbar harian sedia ada di Wilayah Persekutuan.

“Portal berita yang boleh dilayari di laman www.wilayahku.com.my. bakal diluaskan lagi liputan pembaca ke seluruh negara malah ke seluruh dunia.

“Portal berita ini membolehkan lebih banyak ruang berita dapat disajikan seperti berita semasa, ekonomi, aktiviti komuniti dan sukan. Portal Wilayahku juga menampilkan beberapa elemen baharu termasuk video dan mempunyai pautan kepada rangkaian media sosial,” katanya.

Dalam majlis sama, Khalid turut menyempurnakan pelancaran Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Saifuddin Kassim.

Buku setebal 117 muka surat itu menceritakan pelbagai aktiviti dilaksanakan di peringkat kementerian dan agensi selama setahun lalu selain memaparkan 10 kejayaan utama membabitkan pembangunan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


Pengarang :