AGENDAEKONOMI

Prasarana sasar raih RM900 juta tahun 2019

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Prasarana Malaysia Bhd menyasar untuk meraih perolehan sehingga RM900 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, sasaran itu akan disokong oleh peningkatan jumlah penumpang, pengoptimuman kos dan kualiti perkhidmatan.

“Kami telah mengurangkan kos sebanyak RM248.70 juta setakat 30 Jun, 2019 melebihi sasaran 10 peratus atau RM208.40 juta seperti ditetapkan syarikat sebelum ini,” katanya kepada pemberita semasa taklimat prestasi Prasarana bagi separuh pertama 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat 30 Jun 2019, Rapid Rail Sdn Bhd merekodkan lonjakan jumlah penumpang sebanyak 10 peratus tahun ke tahun kepada 112.7 juta berbanding 102.5 juta pada tempoh yang sama 2018.

Bagi tempoh yang sama, jumlah penumpang Rapid Ferry Sdn Bhd meningkat kepada 700,000 orang daripada 200,000 penumpang sebelum ini, namun jumlah penumpang Rapid Bus Sdn Bhd susut kepada 81.3 juta daripada 90.8 juta.

“Pertumbuhan perlahan jumlah penumpang Rapid Bus telah diimbangi oleh pertambahan penumpang Rapid Rail,” katanya.

Mohamed Hazlan berkata, Rapid Rail telah membawa lebih 700,000 pengguna sehari berbanding lebih 450,000 pengguna sehari oleh Rapid Bus.

Berdasarkan peningkatan jumlah penumpang dan pengoptimuman kos yang melebihi sasaran, beliau yakin Prasarana akan merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan yang positif pada 2021.

Beliau berkata, syarikat pengangkutan milik kerajaan itu telah berjaya mengurangkan kerugiannya sebanyak separuh dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Artikel oleh The Edge Malaysia Weekly yang diterbitkan pada bulan lepas yang memetik sumber sebagai berkata, bahawa susut nilai Prasarana pada tahun kewangan 2018 boleh melebihi RM30 bilion.

“Walaupun butiran tidak mencukupi, namun difahamkan memandangkan kesan
daripada susut nilai tersebut, Prasarana akan menanggung kerugian selepas cukai sebanyak RM3 bilion hingga RM5 bilion bagi tahun kewangan 2018,” lapor The Edge.

Bagaimanapun, Mohamed Hazlan enggan mengesahkan angka tersebut seperti dilaporkan oleh terbitan mingguan itu semasa sidang media hari ini.

Melangkah maju, beliau berkata, Prasarana akan menumpukan usaha seperti menerima guna pendigitalan menerusi penggunaan e-dompet, mobiliti sebagai perkhidmatan (Maas), mencari penyelesaian peringkat akhir dan awal, menyediakan pengangkutan yang mampan serta menjadi lebih bertumpu kepada pelanggan.

Beliau berkata, syarikat itu juga akan menumpukan kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD) untuk meningkatkan perolehan.

Difahamkan Prasarana berhasrat membangunkan 10 TOD pada masa depan, empat daripada sedang dalam perancangan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) Latitude 8-Dang Wangi, Stesen LRT Ara Damansara, Stesen LRT IOI Puchong Jaya dan Stesen Monorel Brickfields/ Tun Sambanthan.

– BERNAMA


Pengarang :