AGENDANASIONAL

Premis kiriman wang haram di kedai runcit diserbu

GEORGE TOWN, 2 OGOS: Taktik seorang peniaga berselindung di sebalik premis barangan runcit untuk menjalankan perkhidmatan kiriman wang ke luar negara secara haram terbongkar selepas kedai di tingkat dua bangunan Komtar di sini diserbu pihak berkuasa semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud, berkata sepasukan pegawai penguat kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) dan JIM negeri menyerbu premis itu pada jam 11.30 pagi selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pemilik premis tersebut.

Beliau berkata pegawai BNM menahan pemilik premis dan seorang pekerjanya, berusia 40-an, yang merupakan rakyat tempatan ketika menjalankan urusan pengiriman wang ke luar negara di sebuah bilik kecil dalam kedai runcit tersebut.

Beliau berkata pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap beberapa pelanggan yang berada di sekitar kedai tersebut sebelum menahan empat lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.

“Kesemua warga asing berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa,” katanya di sini malam ini.

Beliau berkata kesemua lima warga asing itu dibawa ke Depot Imigresen Juru untuk tindakan lanjut. – BERNAMA


Pengarang :