Mohamed Azmin Ali
AGENDANASIONAL

Prestasi ekonomi suku kedua negara berkembang 4.9 peratus

SHAH ALAM, 16 OGOS: Ekonomi negara bagi suku kedua 2019 mencatatkan pertumbuhan
lebih baik iaitu pada kadar 4.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku pertama.

Dato’ Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertumbuhan ini didorong oleh aktiviti penggunaan swasta yang rancak.

“Asas ekonomi negara kukuh dan struktur ekonomi yang pelbagai serta tidak bergantung kepada mana-mana komoditi, sektor atau pasaran eksport turut menyokong pertumbuhan ini.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku kedua negara mencatatkan prestasi lebih baik berbanding pertumbuhan KDNK bagi negara Asia terpilih,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Mohamed Azmin berkata, persekitaran luaran dijangka lebih mencabar berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meruncing pada separuh kedua tahun ini.

Justeru kata beliau, Malaysia perlu meraih peluang daripada konflik perdagangan ini dengan menggalakkan eksport produk yang terkesan daripada tarif yang dikenakan oleh AS dan China, seperti produk pengganti bagi pertanian, produk elektrik dan elektronik terpilih.

Mohamed Azmin berkata, pada masa yang sama, kerajaan turut menggalakkan pelaburan swasta berikutan pertumbuhan KDNK akan terus dipacu permintaan domestik.

Katanya, bagi merancakkan lagi pelaburan swasta dan memudahcara perniagaan, kerajaan antara lain mengambil langkah memendekkan tempoh proses kelulusan permit pembinaan daripada 360 hari kepada 90 hari.

“Kerajaan juga akan mengambil langkah mempergiatkan lagi aktiviti pelaburan awam memandangkan hampir 60 peratus peruntukan pembangunan akan dibelanjakan pada separuh kedua 2019 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.


Pengarang :