AGENDANASIONAL

Promosi kelebihan jadi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

SERDANG, 18 OGOS: Imej perkhidmatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) wajar ditingkatkan secara berterusan dalam mempromosi kelebihan menjadi anggota badan sukarelawan terbabit selari dengan kesedaran masyarakat yang semakin peka dengan peranan badan sukarelawan berkenaan kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Ramai menyedari bahawa mereka sebagai orang awam boleh menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara melalui pembabitan dalam APM.

“Kerajaan sentiasa melihat setiap agensi perkhidmatan awam negara termasuk APM supaya turut diberi perhatian untuk bangkit dan bertambah baik dalam menyediakan perkhidmatan berkesan dan profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) Kali Ke-10 2019, di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia, di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin melakukan tabik hormat pada perbarisan yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM Malaysia, Dato’ Roslan Wahab; Penolong Pesuruhjaya Kehormat merangkap Komandan Kor Sispa UPM, Prof Dr Zulkifli Idrus dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris.

Amirudin berkata, sehingga kini, APM berjaya menarik minat pelbagai peringkat masyarakat, khususnya golongan belia dan profesional dari seluruh negara.

Justeru katanya, semangat kesukarelaan yang ada melalui pembabitan APM mampu membentuk nilai dan sikap murni dalam kalangan anak muda.

“Saya optimis apabila ramai anak muda masa kini yang bertanggungjawab terhadap kemaslahatan negara tercinta, keselamatan dan keamanan watan akan terjamin, sekali gus membela masyarakat daripada sebarang bentuk ancaman bencana alam mahupun musuh.

“Anggota APM boleh menjadi pemangkin dan kepada anak muda di luar sana untuk menyertai badan ini, sekali gus membentuk warganegara yang tinggi semangat kesukarelaan serta patriotisme,” katanya.


Pengarang :