AGENDANASIONAL

PTPTN bincang dengan agensi kerajaan kutip pinjaman

PUTRAJAYA, 28 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan untuk memastikan peminjam terutamanya yang dalam kategori tegar, segera membuat pembayaran balik.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kaedah atau tindakan kepada peminjam yang tegar tidak membayar balik pinjaman adalah berlainan dengan peminjam yang baru bergraduasi.

“Ada peminjam yang patuh bayar, ada yang baru graduasi dan ada yang tegar tidak membayar.

“Jadi sasaran kita haruslah lebih kepada yang tidak membayar dan tegar ini yang saya maksudkan dia dah 20 tahun graduate, tak kan tak boleh bayar,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN Sesi Kemasukan September 2019 bagi Parlimen Simpang Renggam, di sini hari ini.

Maszlee berkata, PTPTN sedang dalam perbincangan dengan beberapa agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk memastikan kaedah pembayaran balik yang akan dilaksanakan tidak akan membebankan peminjam.

PTPTN dalam kenyataan medianya berkata, sejumlah RM1.33 bilion WPP telah diserahkan kepada 902,881 pelajar sejak tahun 1999 hingga 31 Julai lepas.

Sejumlah 20,716 pelajar telah ditawarkan WPP bagi kemasukan peringkat ijazah ke universiti awam bagi sesi September 2019 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM31 juta.

PTPTN berkata, pemberian WPP itu adalah untuk memastikan tidak ada pelajar yang tidak boleh masuk ke institusi pengajian tinggi disebabkan masalah kewangan.

– BERNAMA


Pengarang :