EXCOSELANGOR

Pulau Ketam makin bersih – EXCO

PULAU KETAM, 25 OGOS: Pulau Ketam semakin bersih berbanding 10 tahun lalu yang dipenuhi sampah ekoran kegagalan pengurusan sisa pepejal selain budaya membuang sampah sesuka hati ke dalam laut.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, usaha meningkatkan kesedaran penduduk terhadap pentingnya pengurusan sampah dan kepentingan menjaga alam sekitar kini membuahkan hasil.

“Setiap kali melawat Pulau Ketam, saya sering menerima kejutan, jika 10 tahun lalu saya terkejut kerana kotor tetapi sekarang ia semakin bersih.

“Syabas kepada semua terutama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari serta semua penduduk kerana membantu usaha mengindahkan Pulau Ketam,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Program Larian Ketam 2019 di Pulau Ketam, hari ini.

Turut hadir Abdul Rashid yang juga EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan serta 500 peserta dari seluruh Selangor.

Bagi menjaga kebersihan Pulau Ketam, sejak Disember 2018 Kerajaan Negeri menggunakan kutipan sampah secara manual iaitu pekerja pembersihan akan mengutip sampah menaiki basikal dan membawanya ke pusat pengumpulan, di kawasan berhampiran.

Pengurusan sampah secara ‘door to door’ dan sebanyak dua kali sehari (pagi dan petang) itu juga diangggap menjimatkan.

Teknik berkenaan juga dianggap mudah dan efisien serta anggaran sampah dijana sejumlah 1 hingga 1.5 tan sehari.


Pengarang :