Vladimir Putin
AGENDAGLOBAL

Putin sifatkan ujian peluru berpandu AS sebagai ancaman baharu

MOSCOW, 22 OGOS: Rusia menganggap ujian peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘ancaman baharu’ yang memerlukan tindak balas sewajarnya, lapor agensi berita Anadolu.

Pada Isnin, Pentagon mengumumkan, tentera melakukan ujian peluru berpandu versi tentera laut Tomahawk.

Bercakap pada sidang akhbar di Helsinki Presiden Rusia Vladimir Putin menegaskan Amerika membangunkan semula peluru berpandu Tomahawk yang sebelum ini dilancarkan dari kapal bagi digunakan pada pelancar darat.

Pelancar darat tersebut boleh dilakukan menggunakan sistem Mk-41 yang ditempatkan di Romania, dengan itu peluru berpandu berkenaan boleh mensasarkan wilayah Rusia.

“Peluru berpandu ini boleh dilancarkan di atas pelantar yang sudah pun ditempatkan di Romania dan mungkin akan ditempatkan di Poland tidak lama lagi.

“Ia boleh dilakukan dengan mengubah perisian (bagi pelancaran baharu). Bagi kami ia bermakna, wujud satu bentuk ancaman baharu dan kami perlu bertindak balas sewajarnya,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, berkata ujian AS itu mengesahkan kebimbangan yang disuarakan Moscow sejak sekian lama bahawa Mk-41, bukan sahaja boleh digunakan untuk memintas peluru berpandu, tetapi sebagai tapak pelancar, sekaligus menyaksikan AS mencabuli perjanjian perlucutan senjata INF kerana menempatkannya di Eropah.

“Kelmarin, sistem seumpama digunakan untuk ujian produk itu, mencabuli Perjanjian INF dan ia sudah ditempatkan di Romania sejak sekian lama,” kata Lavrov pada sidang akhbar di Moscow.

Pada 2 Ogos lalu, AS secara rasmi keluar daripada perjanjian nuklear selepas berbulan-bulan Washington dan Moscow bertikam lidah.

Perjanjian itu dimeterai pada 1987 oleh Presiden Russia ketika itu, Mikhail Gorbachev dan rakan sejawatannya dari AS Ronald Reagan, bagi mengurangkan risiko perang nuklear di Eropah.

Menerusi perjanjian berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju memusnahkan semua peluru berpandu jarak sederhana dan dekat dalam tempoh empat tahun.

-BERNAMA


Pengarang :