Tengku Amir Shah melawat contoh Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah di Selangor Bio Bay Show Gallery pada 19 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Raja Muda Selangor saksi MOU bina asrama anak yatim di Pulau Indah

KLANG, 19 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli ke Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah bagi menampung 300 pelajar.

Baginda menyaksikan MOU yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Mohamad Razif Abdul Wahab; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Nur Mohd Razali Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Anuar Hamzah Tohar.

Mohamad Razif dalam sembah ucapannya berkata, kompleks itu akan dibina di atas tanah seluas 1.407 hektar dan menelan perbelanjaan berjumlah RM10 juta.

“Daripada kos pembangunan kompleks itu, Central Spectrum akan mewakafkan sebanyak RM5 juta untuk sebahagian kos manakala selebihnya akan di kumpul melalui tabung amal, sumbangan dan derma.

“Selain itu, pihak kami akan bertindak sebagai pemaju dan pengurus projek pembinaan bagi memastikan kelansungan dan kejayaan projek,” katanya di majlis itu, di Selangor Bio Bay di sini.

Beliau berkata, dua blok asrama lelaki dan perempuan akan dibina mengikut fasa yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2021.

Katanya, bagi fasa 1, hanya blok asrama lelaki akan dibina dengan bilik lengkap selain mempunyai kemudahan seperti ruang membasuh, ruang belajar dan ruang riadah.

“Selain itu, satu blok fasiliti tambahan juga akan disediakan seperti dewan makan, pejabat pengurusan dan bilik serbaguna untuk kemudahan pelajar.

“Pusat sukan turut disediakan bagi memudahkan pelajar beriadah membabitkan tiga gelanggang badminton dan satu gelanggang bola tampar serta futsal,” katanya.

Mohamad Razif berkata, pelan pembangunan itu menyediakan kawasan untuk orang awam seperti dewan serba guna, surau dan pusat komersial, sekali gus mampu menjana kewangan tambahan kepada kompleks ini.

“Dari segi seni bina, konsep islamik diterapkan dalam kebanyakkan komponen bangunan, ia dapat dilihat pada penggunaan ‘ventilation block’ dan juga ukiran bercorak dekoratif pada dome surau,” katanya.


Pengarang :