Amirudin Shari (tengah) diiringi ADN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah menanam pokok spesies Bakau Kurap sempena Festival Pemuliharaan Pokok Selangor di Dataran Pantai Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, pada 17 Ogos 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI.
BERITA UTAMASELANGOR

Rakyat disaran kembali semangat gotong royong

SEPANG, 17 OGOS: Masyarakat digesa supaya mengembalikan amalan bergotong royong dan saling membantu dalam kehidupan seharian.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, amalan itu semakin pupus berikutan kesibukan bekerja dalam kalangan masyarakat bagi menyara kehidupan masing-masing.

“Sebab itulah saya melancarkan Bulan Kesukarelawan dengan menggerakkan Team Selangor dengan hasrat rakyat membudayakannya dan menjadi sukarelawan bertanggungjawab, bersedia memikul tanggungjawab untuk dilaksanakan.

“Budaya bergotong royong, bantu membantu juga semakin lama semakin hilang dan luput dalam kehidupan seharian kita sedangkan ianya boleh tangani banyak perkara seperti membabitkan isu kebersihan serta ancaman pembuangan bahan tercemar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di Majlis Bulan Sukarelawan Negeri Selangor dan Festival Pemuliharaan Pokok Selangor di Dataran Pantai Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat di sini, hari ini.

Amirudin Shari melihat kawasan Pokok Api-api yang terdapat di kawasan Pantai Batu Laut sempena Festival Pemuliharaan Pokok Selangor pada 17 Ogos 2019. Pokok ini menjadi habitat semulajadi kelip-kelip. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI.

Amirudin berkata, selain pembangunan ekonomi, Kerajaan Negeri juga tidak sesekali mengambil ringan terhadap usaha membangunkan komuniti.

Katanya, antara aspek pembangunan komuniti menjadi perhatian Kerajaan Negeri termasuk usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Antara contoh terbaik adalah tindakan sukarelawan dan komuniti yang segera melaporkan kepada pihak berkuasa apabila mengetahui terdapat aktiviti pembuangan sisa tercemar ke dalam sungai.

“Kita menggesa supaya lebib ramai lagi rakyat Selangor terbabit dalam aktiviti kesukarelawan,” katanya.


Pengarang :