AGENDANASIONAL

Rakyat Malaysia ditangkap seludup syabu

KUALA LUMPUR, 1 OGOS : Polis mengesahkan seorang rakyat Malaysia ditahan kerana dipercayai terbabit menyeludup masuk dadah jenis syabu seberat enam kilogram di Kalimantan, Indonesia, pada 16 Julai lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penahanan lelaki yang dipercayai berasal dari Tawau, Sabah itu selepas dihubungi Polis Negara Republik Indonesia (POLRI).

“Namun maklumat lanjut berhubung kejadian belum diperolehi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, suspek kini masih berada di negara berkenaan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan dengan mengenal pasti sekiranya suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket penyeludupan dadah di negara ini.

“Kita masih meneliti maklumat yang diperolehi oleh pihak POLRI bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan dadah berkenaan ,”katanya.

Terdahulu, media Indonesia melaporkan seorang rakyat Malaysia antara lima individu yang ditahan di Kalimantan Timur kerana disyaki cuba menyeludup masuk dadah di negara berkenaan.

Laporan tersebut mendedahkan rakyat Malaysia berkenaan adalah dalang yang berperanan menyeludup masuk dadah ke negara republik itu. -BERNAMA


Pengarang :