ACP Mohd Said Ibrahim (kiri) bersama pegawainya melihat majlis pelupusan barang kes mesin perjudian siber di Stor Barang Kes Berpusat, Sikamat hari ini. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan IPD Nilai hari ini melupuskan 808 barangan elektronik berkaitan mesin judi siber dari 2014 hingga 2018 yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta, yang dirampas ketika operasi di kedua-dua daerah itu. –fotoBERNAMA
AGENDAJENAYAH

Rampasan barang mesin judi RM1.3 juta dilupus

SEREMBAN, 6 OGOS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan IPD Nilai hari ini melupuskan 808 barangan elektronik berkaitan mesin judi siber yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta, yang dirampas ketika operasi di kedua-dua daerah itu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pelupusan 808 barang kes yang melibatkan peralatan elektronik dan komponen komputer itu, membabitkan 59 kertas siasatan yang sudah selesai bagi tempoh 2014 sehingga 2018.

“Kami mendapat arahan daripada mahkamah untuk lupuskan barangan tersebut. Ini juga selari dengan peruntukan di bawah Seksyen 16A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, di mana barang kes mesin judi yang dirampas pihak polis bolehlah dimusnahkan mengikut arahan majistret.

“Justeru, kami telah mengambil inisiatif melupuskan barangan tersebut menerusi keadah E-waste di mana ia dilihat sejajar dengan prosedur sekian Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dilihat lebih selamat serta sesuai dengan konsep ‘go green’.

“Bahan sisa barangan elektronik (E-waste) adalah barang yang tidak digunakan lagi dan dikategorikan sebagai bahan buangan kerana mempunyai ciri mudah terbakar, boleh menghakis, toksik dan memberi impak kepada kesihatan manusia serta alam sekitar,” katanya pada majlis pelupusan barang kes mesin perjudian siber di Stor Barang Kes Berpusat, Sikamat di sini.

Mohd Said berkata, usaha pelupusan ini dilihat sejajar dengan hasrat pucuk pimpinan untuk membenteras secara total kegiatan tidak bermoral ini.

“Pihak kami menyahut cabaran ini dan usaha ini tidak hanya terhenti di sini dan pihak kami akan membasmi aktiviti ini secara berterusan dari semasa ke semasa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :