AGENSISELANGOR

Relawan belia semarak semangat patriotisme

SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Belia Malaysia (MBM) melancarkan Relawan MBM (RM) sebagai nafas baharu terhadap gerakan kesukarelawan melalui gerak kerja berskala besar dan memenuhi keperluan semasa, di Wisma MBM, di sini, semalam.

Setiausaha Agungnya, Hasnul Haniff Harun berkata, inisiatif itu diambil dengan mengangkat semangat bulan kemerdekaan yang disambut pada Ogos setiap tahun bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan belia, di negara ini.

“Ia juga menyambut saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan pendidikan sivik di dalam sistem pendidikan negara.

“Di bawah Relawan MBM, terdapat pelbagai skop yang difokuskan antaranya pendidikan, khidmat masyarakat di komuniti, misi kesukarelaan bencana dalam dan luar negara, kesihatan mental dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sidang meja bulat diadakan bagi merangka pelan strategik membentuk badan sukarelawan berkenaan membabitkan penyertan agensi dan badan bukan kerajaan seperti Malaysia Relief Agency (MRA), MyCorps, MOVe, Volunteer Trip Malaysia serta Sukarelawan Siswa.

Dalam kenyataan sama, katanya, MBM turut membuka peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat selain menjadi sebahagian proses melahirkan pemimpin muda dalam lapangan kesukarelawan.

“Orang awam boleh menyumbang melalui Tabung Relawan MBM di akaun 5640 2540 3782 (Maybank Berhad) bagi menggerakkan aktiviti Relawan MBM,” katanya.


Pengarang :