Ribut di Kedah merosakkan 171 buah sekolah di Kedah. Foto/BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ribut jejaskan 64 sekolah di Kedah

ALOR SETAR, 10 OGOS: Sejumlah 64 sekolah di lapan daerah di Kedah terjejas apabila mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan siling bangunan ekoran ribut malam tadi, setakat 11.30 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said berkata, lapan daerah itu membabitkan Kuala Muda, Yan, Padang Terap, Kubang Pasu, Pendang, Baling, Kota Setar dan Kulim-Bandar Baharu.

“Umumnya kerosakan membabitkan bumbung dan siling tercabut ekoran ribut kuat pada malam tadi. Pihak JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) akan memperbaiki segera kerosakan itu,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Bagaimanapun, Dr Salmee berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terganggu memandangkan mereka akan bercuti sempena Hari Raya Aidiladha hingga 17 Ogos nanti.

Sementara itu, kuarters guru di Kuah, Langkawi juga terjejas ekoran pokok tumbang dan bumbung tercabut.

Kerugian yang dialami ekoran kerosakan di sekolah dan kuarters guru itu sedang ditaksir pihak JPN, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :